SPRM TAHAN PEGAWAI KANAN AGENSI KERAJAAN, DISYAKI KEMUKA DOKUMEN PALSU RM15,000

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 7 OKT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM15,000.

Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan dokumen berkenaan bagi tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian, yang dipercayai berlaku pada 2023 dan 2024.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Sandakan pada 8 Oktober 2026.

ENDS

Share This Article