ECoS DAN IIM METERAI MoU PERKUKUH INTEGRITI SEKTOR KAWAL SELIA TENAGA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,24 November – Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM)  memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus  dalam sektor kawal selia tenaga di Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu selaras dengan  aspirasi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan integriti tadbir urus dalam penyampaian  perkhidmatan kepada rakyat. 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) ECoS  2026–2030 dan pertukaran MoU antara ECoS dengan IIM di Menara Kinabalu di sini hari ini. 

Menerusi MoU berkenaan, ECoS dan IIM akan berkongsi kepakaran dalam aspek  pengoperasian, pencegahan dan pendidikan, manakala ECoS turut mendapat bantuan bagi  merealisasikan aspirasi kerajaan selaras dengan undang-undang dan peraturan yang  ditetapkan. 

Pegawai ECoS juga berpeluang mengikuti pelbagai program latihan anjuran Akademi  Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), termasuk program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO),  yang bertujuan memperkukuh tadbir urus dalam agensi awam, syarikat berkepentingan kerajaan  dan sektor swasta. 

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, MoU itu akan  memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pembangunan kapasiti, latihan, kesedaran  antirasuah dan pengurusan risiko rasuah. 

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dalam  pelaksanaan fungsi kawal selia ECoS bagi memastikan sektor tenaga Sabah ditadbir secara  telus dan berintegriti. 

Pada majlis berkenaan, Ketua Menteri bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin  Aman menyaksikan pertukaran MoU antara Abdul Nasser dengan Presiden/Ketua Pegawai  Eksekutif IIM Datuk Seri Noridah Abdul Rahim. 

Share This Article