SANDAKAN,24 November – Konsert Kemilau Anak Seni Siri Ke-8 anjuran Sekolah Seni Malaysia Sabah (SSeMS) mendapat sambutan luar biasa apabila sebanyak 1,000 tiket yang disediakan habis terjual dalam tempoh seminggu.
Konsert yang berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Sandakan itu turut menjadi acara istimewa sempena sambutan sedekad penubuhan SSeMS dengan mengetengahkan bakat, kreativiti dan keberanian anak-anak seni tempatan.
Menampilkan konsep rock sebagai tema utama, konsert berkenaan membariskan 188 murid SSeMS, selain menampilkan 12 alumni sekolah itu serta artis jemputan, Naqiu.
Keseluruhan produksi turut digerakkan oleh 20 tenaga kerja di bawah arahan Pengarah Program, Nazmi Tajuddin.
Penolong Kanan Seni SSeMS, Hasnia Bakre berkata, pemilihan konsep rock bertujuan memberikan pengalaman persembahan berbeza kepada penonton, selain menjadi usaha berterusan pihak sekolah untuk meningkatkan mutu dan kualiti produksi setiap tahun.
Menurutnya, persiapan keseluruhan konsert mengambil masa kira-kira lima minggu bagi memastikan aspek produksi, teknikal dan persembahan berjalan lancar seperti dirancang.
Sementara itu, alumni SSeMS yang menamatkan pengajian pada 2023, Cici menyifatkan peluang kembali membuat persembahan di pentas sekolah sebagai pengalaman cukup bermakna.
Katanya, selain dapat bertemu semula dengan guru-guru, peluang itu turut memberinya ruang untuk berkongsi hasil pembelajaran serta pengalaman sepanjang lima tahun menimba ilmu di institusi berkenaan.
Beliau berharap SSeMS terus melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang seni bagi tempoh sedekad akan datang, selain merealisasikan impian memiliki bangunan sekolah sendiri.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Bunsu Gaga yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah menyifatkan konsep persembahan tahun ini berjaya menyerlahkan keyakinan, semangat dan keberanian murid dalam mengetengahkan bakat masing-masing.
Menurutnya, sekolah seni memainkan peranan penting dalam mencungkil, mengasah dan membimbing potensi murid agar lebih berkeyakinan, berkemahiran serta mampu bersaing dalam bidang seni.
Beliau berkata, kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik dan kerjaya semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan jati diri, keberanian, keyakinan serta keupayaan murid mengembangkan potensi dalam bidang yang diminati.
Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Datu Roslin Datu Siabok turut merakamkan ucapan tahniah kepada SSeMS atas kejayaan penganjuran konsert berkenaan.
Beliau berharap usaha berterusan dalam melahirkan generasi muda yang berbakat, kreatif dan berkemahiran dalam bidang seni dapat diteruskan demi menyumbang kepada pembangunan industri seni dan kreativiti negara.
Konsert Kemilau Anak Seni Siri Ke-8 bukan sekadar sebuah persembahan hiburan malah menjadi platform untuk membuktikan bahawa bakat anak muda mampu berkembang apabila diberikan ruang, bimbingan dan peluang sewajarnya.
Sepanjang 10 tahun penubuhannya, SSeMS terus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi seni yang bukan sahaja berkemahiran, malah berani mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka ke pentas yang lebih besar.
