KOTA KINABALU, 21 JULAI – Kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan sistem bekalan air di Sandakan termasuk pembinaan tangki simpanan baharu, menaik taraf loji rawatan air dan memulihkan telaga tiub sedia ada.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury berkata, projek itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sistem pengepaman terus yang menyebabkan tekanan tinggi pada rangkaian paip sedia ada sekali gus mengurangkan kejadian paip bocor dan kadar air tidak berhasil (NRW).
Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan tiga tangki simpanan air iaitu di Batu 16, Gum- Gum berkapasiti lima juta liter, Batu 7 Jalan Airport berkapasiti 10 juta liter dan Batu 4,Tshun Ngen berkapasiti 10 juta liter.
Selain itu, sebuah tangki imbangan berkapasiti 10 juta liter turut akan dibina di Batu 12, Sungai Manila.
“Apabila siap, projek ini akan meningkatkan kecekapan sistem agihan bekalan air dengan membolehkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud disimpan dan diagihkan secara lebih sistematik.
“Ia juga akan mengurangkan tekanan operasi pada rangkaian paip sedia ada sekali gus mengurangkan kebocoran paip dan menurunkan kadar air tidak berhasil di kawasan terlibat,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Karamunting Wong Tshun Lee di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkaitan pemulihan sistem telaga tiub serta reka bentuk sumber air mentah baharu dan Loji Rawatan Air Sibuga telah siap pada Jun lalu.
Hasil kajian itu mengenal pasti keperluan memulihkan 10 telaga tiub sedia ada serta membaik pulih beberapa telaga lain bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Sibuga.
Sehubungan itu, Jabatan Air Sabah akan melaksanakan projek pemulihan dan naik taraf sistem telaga tiub serta loji rawatan air berkenaan di bawah RMK13.
Pada masa sama, jabatan itu turut memohon peruntukan bagi membina sebuah loji rawatan air baharu di Segaliud berkapasiti 125 juta liter sehari lengkap dengan pembinaan muka sauk baharu.
Menurut beliau, projek itu kini berada pada peringkat penyediaan skop kerja sebelum pelaksanaan fizikal diteruskan menerusi program pinjaman mudah di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Sementara itu, ADUN Tanjong Papat, Alex Thien Ching Qiang membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan paip utama bekalan air di Sandakan yang sebahagiannya telah berusia lebih 30 hingga 40 tahun dan kerap mengalami kebocoran.
Beliau berkata, kerosakan paip utama berdiameter 700 milimeter di Jalan Sibuga baru-baru ini menyebabkan gangguan bekalan air berlarutan hampir dua minggu di beberapa kawasan.
Katanya, satu lagi paip utama berdiameter 1,200 milimeter dari Loji Rawatan Air Segaliud turut mengalami beberapa kebocoran besar sehingga menjejaskan bekalan air ke kawasan Tanjong Papat, Karamunting dan kawasan bandar yang lebih tinggi.
Beliau meminta kerajaan mempercepatkan peruntukan tambahan bagi menggantikan paip-paip usang serta menaik taraf loji rawatan air dan sistem telaga tiub bagi memastikan masalah bekalan air di Sandakan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Menjawab perkara itu, Pembantu menteri berkenaan berkata peruntukan tambahan yang dibentangkan kerajaan bertujuan menangani masalah paip usang dan kebocoran, selain menggesa semua wakil rakyat Sandakan memberi sokongan terhadap usaha tersebut.
Beliau turut mempelawa ADUN di Sandakan untuk mengadakan lawatan bersama bagi meninjau isu bekalan air di kawasan berkenaan dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
