KOTA KINABALU,9 OKT – Sabah menerima agihan peruntukan Persekutuan tertinggi dalam Belanjawan 2027 berjumlah RM18.7 bilion.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara Sarawak pula menerima agihan berjumlah RM6.2 bilion.
Agihan itu merupakan catatan tertinggi pernah diterima oleh Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata, komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah sebahagian daripada tanggungjawab nasional yang wajib dilaksanakan secara saksama.
“Selama puluhan tahun, Pemberian Khas tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak. Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar Pemberian Khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah 1.5 bilion ringgit,” katanya.
Beliau berkata, bayaran interim berkenaan akan dilunaskan sebelum hujung tahun ini sementara perbincangan formula tahunan yang adil dan mampan terus dimuktamadkan bersama kerajaan kedua-dua negeri.
Anwar juga berkata, tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak ditingkatkan.
Ia membolehkan seramai 4,200 pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi setiap tahun.
Selain itu, projek jaringan jalan raya di wilayah Borneo menerima suntikan RM3.3 bilion di samping peruntukan RM350 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak.
Sumber – Awani
