KOTA KINABALU, 24 November – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah mengesan pelbagai pelanggaran aspek keselamatan kebakaran dalam pemeriksaan terhadap beberapa premis kedai pejabat yang diubah suai menjadi bilik sewa dan penginapan pelajar di sekitar Kota Kinabalu.
Pelanggaran itu dikesan menerusi Operasi Asrama Selamat Siri Kedua yang dilaksanakan pada 23 November lalu bermula jam 9 pagi dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi bersepadu yang membabitkan kira-kira 51 pegawai dan anggota itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis yang diubah suai untuk dijadikan tempat penginapan.
Hasil pemeriksaan terhadap dua blok bangunan membabitkan enam unit premis mendapati kebanyakan pengubahsuaian dilakukan tanpa kelulusan sewajarnya termasuk pembinaan antara lapan hingga 10 bilik dalam satu unit premis.
Pemeriksaan turut menemukan penggunaan bahan mudah terbakar seperti papan lapis sebagai dinding pemisah bilik selain laluan keluar dan menyelamatkan diri yang terlalu sempit.
Lebih membimbangkan, beberapa premis didapati tidak dilengkapi kemudahan keselamatan kebakaran seperti lampu kecemasan dan alat pemadam api mudah alih.
Keadaan pendawaian elektrik yang membimbangkan, penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan serta penyimpanan peralatan memasak elektrik dan barangan memasak di dalam bilik penginapan turut dikenal pasti sebagai antara risiko yang boleh mengundang kejadian kebakaran.
Sehubungan itu, JBPM Negeri Sabah akan mengambil tindakan penguatkuasaan melalui pengeluaran Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran di bawah Seksyen 8, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) terhadap premis yang dikenal pasti mempunyai bahaya kebakaran.
Operasi berkenaan merupakan kesinambungan pemeriksaan yang dilaksanakan pada Februari lalu dan akan diperluaskan ke kawasan lain dengan kerjasama agensi berkaitan.
JBPM Negeri Sabah turut menegaskan bahawa keselamatan penghuni perlu menjadi keutamaan pengusaha premis yang bertanggungjawab memastikan kemudahan penginapan disediakan dalam keadaan selamat serta mematuhi semua keperluan keselamatan kebakaran.
