TLDM LUPUSKAN BAHAN LETUPAN LAMA DI PULAU MAMUTIK

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,13 JUN- Komander Ts. Ahmad Firdaus Zakaria TLDM mengetuai operasi khas pemusnahan bahan letupan tidak meletup (UXO) yang ditemui di dasar laut perairan Pulau Mamutik, dekat sini, Jumaat lalu.

Objek berukuran kira-kira 25 sentimeter itu ditemukan oleh seorang pemandu aktiviti snorkeling pada 9 Jun sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa menerusi pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman.

Susulan penilaian mendapati objek berkenaan berisiko kepada keselamatan awam, pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM yang melibatkan anggota Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur digerakkan untuk melaksanakan operasi pelupusan.

TLDM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan operasi berkenaan berjaya diselesaikan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, tindakan itu memastikan kawasan perairan Pulau Mamutik kembali selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat. Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang objek mencurigakan kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengundang bahaya.

Share This Article