SABAH ELECTRICITY TANAM 2,777 POKOK DI HUTAN SIMPAN GARINONO

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN,24 November – Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) memperuntukkan RM93,425 bagi melaksanakan program penanaman dan pemulihan hutan melibatkan 2,777 pokok daripada lima spesies di Hutan Simpan Garinono, Sandakan dalam tempoh tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.

Pengerusinya, Datuk Saadiah Aziz berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian hutan di Sabah.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti penanaman pokok sebaliknya turut merangkumi aspek penyelenggaraan dan pemantauan bagi memastikan pokok yang ditanam dapat hidup serta membesar dengan baik.

Menurutnya, kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah akan dilaksanakan sepanjang tempoh program, termasuk penyediaan laporan pemantauan setiap tahun bagi menilai perkembangan dan kadar kelangsungan hidup pokok berkenaan.

“Ini sangat penting untuk kelestarian dan komitmen kita sebagai Sabah Electricity. Pemuliharaan alam sekitar merupakan salah satu daripada lima pendekatan CSR syarikat.

“Kita bukan sahaja menanam pokok tetapi perlu memastikan pokok-pokok ini membesar. Sebab itu pemantauan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya ketika ditemui media pada program penanaman pokok di Hutan Simpan Garinono, di sini.

Saadiah berkata, usaha itu turut menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida selain membantu memulihkan kawasan hutan simpan di negeri ini.

Beliau berkata, Sabah Electricity turut merancang meneruskan program seumpama itu setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan strategik Jabatan Perhutanan Sabah.

Katanya, syarikat itu sebelum ini turut melaksanakan program penanaman pokok bakau di Bongawan pada 18 Oktober lalu.

Beliau turut berharap pihak media dapat membantu mengikuti perkembangan program berkenaan bukan sahaja dari segi aktiviti penanaman malah kejayaan pokok yang ditanam untuk terus hidup dan membesar.

“Insya-Allah, pada 2027 kita akan kembali ke sini untuk meneruskan penanaman pokok seterusnya,” katanya.

Turut hadir Timbalan Konservator Hutan Sabah, Dr Arthur Chung.

Share This Article