PELANCONG JERMAN MENINGGAL DUNIA SELEPAS PENGSAN KETIKA SNORKELING DI PULAU SAKAR

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU,17 JUN- Seorang pelancong warga Jerman meninggal dunia selepas dipercayai pengsan ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Sakar, Lahad Datu, pagi tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu mengkoordinasikan operasi pemindahan perubatan atau MEDEVAC sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, Pusat Operasi Maritim menerima maklumat daripada pemandu bot pada jam 11.20 pagi mengenai seorang pelancong yang tidak sedarkan diri ketika menjalankan aktiviti rekreasi laut tersebut.

Susulan laporan itu, bot ronda Cenderawasih 02 yang sedang melaksanakan operasi berhampiran lokasi kejadian diarahkan segera ke kawasan berkenaan bagi membawa mangsa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa, Kenneth Ray Crouse, 78 tahun sempat diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh rakannya di lokasi kejadian.

Namun beliau disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut serta memaklumkan segera sebarang kecemasan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Share This Article