LAHAD DATU, 11 November – Seorang remaja lelaki bukan warganegara berusia 14 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 20, Jalan Lahad Datu-Sandakan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad DatU, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail berkata, kejadian jam 8.30 malam itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang mangsa dari arah bandar Lahad Datu menuju ke Sandakan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan.
Pada masa yang sama, sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 29 tahun bersama lima penumpang sedang bergerak dari arah bertentangan dari Sandakan menuju ke bandar Lahad Datu.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, motosikal tersebut telah melanggar bahagian hadapan sebelah kanan MPV berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu MPV mengalami kecederaan ringan di bahagian bibir dan sakit di paha kanan manakala dua daripada penumpang turut mengalami kecederaan ringan.
Tiga lagi penumpang lain selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksi atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohamad Humaidi bin Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad DatU bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak khususnya yang masih di bawah umur serta tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.
Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas, dan mengutamakan keselamatan demi mengelak daripada berlakunya sebarang musibah.
