SEMPORNA, 11 OGOS – Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan mengedar dadah apabila lebih 11 kilogram syabu bernilai lebih RM550,000 dirampas dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, pasukan operasi PPM W4 Sabah yang menjalankan risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Komander PPM W4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, berkata ketika pasukan cuba menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang berada di atasnya bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan.
Menurutnya, usaha mengesan suspek kemudian dijalankan, namun lelaki berkenaan gagal ditemui.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Keseluruhan dadah yang dirampas mempunyai berat kasar 11.06 kilogram dengan nilai dianggarkan lebih RM550,000,” katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot yang digunakan suspek dianggarkan melebihi RM578,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 15 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan 24 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM718,000.
PPM W4 Sabah menegaskan pihaknya akan terus memperhebatkan risikan serta rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah, khususnya di kawasan perairan Sabah.
