RIZAB BIOSFERA KINABATANGAN & BANJARAN CROCKER MERUPAKAN ASET BERHARGA SABAH BERTARAF DUNIA

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 14 JUN- Kerajaan Negeri Sabah meraikan satu lagi pencapaian bersejarah dengan pemasyhuran rasmi Rizab Biosfera Kinabatangan yang menjadi rizab biosfera kedua di negeri ini selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker.

Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempena majlis sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan yang berlangsung di Padang Merdeka.pada ahad.

Rizab Biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas kira-kira 413,866 hektar dan telah menerima pengiktirafan daripada UNESCO pada tahun sebelumnya.

Pengiktirafan ini mengesahkan bahawa kawasan tersebut mempunyai kepelbagaian biologi dan kepentingan ekologi yang luar biasa di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang diisytiharkan pada tahun 2014 meliputi kawasan seluas 350,584 hektar. Ia didiami oleh lebih satu juta penduduk di hampir 400 buah kampung yang merangkumi 10 daerah iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut.

Status ini juga melengkapkan Sabah sebagai pemegang “Tiga Tapak Mahkota UNESCO” atau Triple Crown UNESCO Sites.

Kedua-dua rizab biosfera ini memainkan peranan penting dalam keseimbangan alam umpamanya Banjaran Crocker yang melindungi ekosistem pergunungan dan hutan, mengekalkan sumber air serta memelihara spesies tumbuhan dan haiwan yang unik.

Sementara Kinabatangan pula menjaga ekosistem sungai dan tanah lembap, menjadi habitat utama hidupan liar serta memastikan kualiti air kekal baik.

Sabah kini mempunyai hampir 30% daripada kawasan daratnya diwartakan sebagai Kawasan Terlindung sepenuhnya.

Negeri ini juga kekal sebagai penyerap karbon bersih utama yang menyumbang kira-kira 36% daripada jumlah penyerapan karbon seluruh Malaysia melalui hutan tropikanya yang luas.

Menurut Ketua Menteri itu lagi, pemuliharaan alam ini selari dengan inisiatif Sabah Maju Jaya di mana usaha pemuliharaan diteruskan di bawah program SMJ 2.0 (2026–2030).

Kedua-dua kawasan ini membuka peluang kepada penduduk tempatan melalui Pelancongan berasaskan alam semula jadi, Program homestay, Perusahaan dan perniagaan berasaskan komuniti.

Ini menjadikan pemuliharaan alam satu sumber pendapatan jangka panjang menggalakkan masyarakat terus menjaga hutan dan hidupan liar demi manfaat yang berkekalan.

Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh usaha pemuliharaan, meluaskan kesedaran awam dan menjalin kerjasama strategik. Matlamatnya adalah memastikan status bertaraf dunia ini memberi manfaat yang meluas, mampan dan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Share This Article