PPNS METERAI MOU DENGAN DUA SYARIKAT PERKUKUH PEMBANGUNAN PERTANIAN SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 11 November – Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan dua syarikat bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan sektor pertanian di Sabah.

Dua syarikat berkenaan ialah Cosmos International Sdn Bhd dan Tetap Kilat Sdn Bhd dengan kerjasama itu meliputi bidang pertanian komersial, penanaman padi, agroteknologi, mekanisasi serta pemindahan teknologi.

MOU berkenaan ditandatangani Timbalan Pengerusi PPNS, Datuk Ng Loi Tect bagi pihak pertubuhan itu manakala Cosmos International diwakili Pengurus Besarnya, Jordan Chung dan Wakil Pengarah, Jin Zhaoyu. Tetap Kilat pula diwakili pengarahnya, Desmond Lo.

Majlis berkenaan disaksikan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah, Tuan Haji Fitrisubroto Haji Yahmin, Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah serta Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS.

Mohd Nazri berkata, kerjasama strategik itu bertujuan meneroka dan membangunkan pelbagai bidang pertanian komersial termasuk pengairan, pembangunan infrastruktur pertanian, pemprosesan hiliran serta pengukuhan rantaian bekalan.

Menurutnya, kerjasama itu turut merangkumi aspek latihan dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan keupayaan komuniti peladang serta menyokong agenda keselamatan makanan Sabah.

Menerusi persefahaman itu, Cosmos International akan bertindak sebagai rakan teknikal dan pelaburan pilihan, manakala Tetap Kilat berperanan sebagai rakan strategik tempatan serta penyelaras utama di Sabah.

PPNS pula akan memudah cara hubungan dengan komuniti peladang dan pihak berkepentingan, selain menyediakan sokongan institusi mengikut fungsi serta kapasitinya.

Beliau berkata, setiap peluang projek yang dikenal pasti akan dibincangkan terlebih dahulu antara pihak terbabit sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

Aspek pembiayaan, pelaburan, pengurusan dan pengagihan hasil bagi setiap projek pula akan ditentukan melalui perjanjian berasingan, tertakluk kepada persetujuan bersama serta kelulusan dalaman PPNS.

MOU itu berkuat kuasa selama dua tahun mulai tarikh ditandatangani dan boleh diperbaharui berdasarkan persetujuan bersama.

Mohd Nazri berharap kerjasama berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang pembangunan pertanian secara komersial dan berteknologi tinggi sekali gus memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan manfaat ekonomi kepada komuniti peladang di Sabah.

Share This Article