KOTA KINABALU, 2 OKT – Dua kenderaan rosak selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di hadapan Masjid Bandaran Kota Kinabalu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.27 malam, pokok tumbang berkenaan menghempap sebuah Perodua Myvi dan Perodua Viva.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan berhubung kejadian melalui talian balai sebelum sepasukan empat anggota diketuai PBK I Idy Nirwan bin Ilyas dikejarkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.35 malam dan menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan tiada mangsa terperangkap atau mengalami kecederaan dalam kedua-dua kenderaan terbabit.
Kerja-kerja pemotongan pokok kemudian dijalankan pasukan bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan gergaji berantai.
Sabah Electricity turut hadir ke lokasi kira-kira jam 1 pagi bagi melaksanakan pemotongan bekalan elektrik bagi memastikan kerja-kerja pengalihan pokok dapat dijalankan dengan selamat.
Bagaimanapun, kerja-kerja pemotongan pokok yang menghempap Perodua Viva tidak dapat diteruskan selepas pasukan mendapati terdapat wayar elektrik yang dipercayai bukan milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. terkena pada kenderaan berkenaan.
Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tindakan lanjut.
Pada jam 1.40 pagi kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok yang menghalang laluan serta menghempap Perodua Myvi berjaya diselesaikan.
Operasi ditamatkan pada jam 1.56 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain yang berisiko kepada orang awam.
Operasi turut mendapat bantuan APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
Pemangku Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, PKPgB Mohd Hannis bin Mokhtar, memaklumkan tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan.
