Keningau, 11 November – Masalah bekalan air bersih, keperluan kemudahan sukan dan riadah serta status pengiktirafan kampung antara isu utama dibangkitkan penduduk Kampung Bayangan Atas ketika menerima kunjungan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan, baru-baru ini.
Kunjungan itu bertujuan mendengar sendiri keluhan penduduk selain mengenal pasti keperluan asas yang memerlukan perhatian dan tindakan pihak berkaitan.
Dalam pertemuan berkenaan, penduduk turut berharap Kampung Bayangan Atas diberikan pengiktirafan rasmi sebagai sebuah kampung bagi memastikan identiti serta kedudukannya mendapat perhatian sewajarnya.
Mengambil maklum kesulitan yang dihadapi penduduk, Azman turut menyampaikan sumbangan kewangan bagi membantu usaha menangani masalah bekalan air bersih yang menjadi antara keperluan mendesak masyarakat setempat.
Beliau berkata, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan pemimpin memahami keadaan sebenar serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada masyarakat.
Menurutnya, setiap permasalahan rakyat perlu diberikan perhatian serius manakala pertemuan bersama penduduk menjadi langkah awal untuk mengenal pasti ruang penyelesaian yang boleh diusahakan bersama pihak berkaitan.
Azman berkata, beliau akan terus mendekati masyarakat bagi membawa isu dan keperluan penduduk Keningau kepada perhatian pihak berkenaan khususnya membabitkan kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus mendengar suara rakyat serta berusaha mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
