KOTA KINABALU,15 JUN- Kennedy John Angian dipilih sebagai Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Keningau yang baharu, manakala Dr Peter Naintin mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian UPKO Libaran bagi sesi 2026-2029.
Pemilihan itu dibuat sempena Mesyuarat Agung Tritahunan (MAT) UPKO Bahagian Keningau dan Libaran yang disempurnakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, pada Sabtu dan Ahad.
Ewon merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu atas sumbangan dan khidmat beliau sepanjang menerajui kepimpinan bahagian Keningau.
“Saya menghargai komitmen, dedikasi dan sokongan ahli-ahli UPKO Keningau dan Libaran dalam usaha parti menyumbang kepada penyatuan parti-parti tempatan Sabah sebagai asas untuk menuntut hak-hak perlembagaan serta pembangunan masa depan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada MAT UPKO Libaran, Ewon turut menerima borang keahlian daripada 10 cawangan penaja baharu yang membawa lebih 400 ahli baharu menyertai parti itu.
Beliau juga melancarkan UPKO Chinese Task Force Sandakan dengan pelantikan empat penyelaras bagi memperkukuh usaha memperluaskan sokongan masyarakat setempat terhadap parti itu.
Dalam MAT Bahagian Libaran, Dr Peter memperoleh mandat daripada lebih 200 perwakilan dan pemerhati yang hadir untuk terus menerajui UPKO Libaran bersama Timbalan Ketua Bahagian, Aspar Jainal.
Ewon berkata, Bahagian Libaran mempunyai keunikan tersendiri kerana dianggotai pelbagai etnik termasuk Kadazan, Dusun, Tidung, Sungai, Bajau dan Cina, sekali gus mencerminkan kepelbagaian masyarakat Sabah.
Menurutnya, penyatuan parti-parti tempatan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, penting bagi memastikan semangat dan wawasan penubuhan Malaysia dapat diterjemahkan mengikut konteks asal Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.
UPKO mempunyai 26 bahagian termasuk di Perak. Kongres UPKO 2026 dijadualkan pada Ogos ini.
