PPNS, MULTISUPPLY METERAI MoU PERLUAS PEMASARAN BAJA ORGANIK

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 11 November – Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menjalin kerjasama strategik dengan Multisupply Enterprise Sdn Bhd bagi memperluas pemasaran produk baja ikan organik keluaran syarikat itu menerusi rangkaian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), ahli peladang dan komuniti petani di Sabah.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada satu majlis di sebuah hotel di sini, hari ini.

PPNS diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Ng Loi Tect manakala Multisupply Enterprise Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Chia Sia Theng.

Majlis berkenaan disaksikan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah, Tuan Haji Fitrisubroto Haji Yahmin; Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah serta Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam usaha memperkenalkan dan mempromosikan produk berkenaan selain meneroka peluang pemasaran melalui rangkaian serta saluran perniagaan PPNS.

Skop kerjasama turut meliputi penganjuran taklimat produk, demonstrasi dan sesi penerangan selain perkongsian maklumat, bahan promosi, sampel serta maklum balas pelanggan bagi meningkatkan penerimaan produk dalam kalangan pengguna.

Produk utama yang diketengahkan ialah HydroManis, sejenis Asid Amino Ikan (Fish Amino Acid atau FAA) yang dihasilkan daripada 100 peratus bahan organik termasuk ikan dan molases.

Produk berkenaan diproses di kilang Multisupply Enterprise Sdn Bhd di Wilayah Persekutuan Labuan dan diperkenalkan sebagai baja semula jadi untuk membantu meningkatkan hasil tanaman, kesegaran serta kandungan nutrisi tanaman juga memperbaiki kesihatan tanah.

Penghasilan produk berasaskan bahan organik itu turut menekankan aspek kelestarian alam sekitar menerusi pemanfaatan sumber organik bagi menyokong keperluan nutrien tanaman dan kesuburan tanah.

Menerusi kerjasama itu, PPNS akan membantu memperkenalkan HydroManis kepada rangkaian PPK, ahli peladang dan pelanggan yang bersesuaian selain meneroka peluang promosi menerusi program serta saluran perniagaannya.

Share This Article