KUDAT, 23 Ogos – Susulan isu keselamatan dan keselesaan penumpang feri yang tular di media sosial, Maritim Malaysia Zon Kudat hari ini menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah feri yang beroperasi di laluan Karakit–Kudat.
Pemeriksaan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat itu bagaimanapun mendapati tiada sebarang kesalahan atau pelanggaran peraturan dikesan, manakala jumlah penumpang berada dalam had kapasiti yang dibenarkan.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pemeriksaan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan penumpang serta pematuhan peraturan oleh pengusaha feri sentiasa berada pada tahap ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan hari ini mendapati tiada sebarang kesalahan atau pelanggaran peraturan dilakukan oleh pihak pengusaha feri. Jumlah penumpang juga didapati berada dalam kapasiti yang dibenarkan dan operasi feri berjalan dalam keadaan terkawal ketika pemeriksaan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia Zon Kudat akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha pengangkutan laut sentiasa mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan penumpang.
Katanya, pihaknya mengambil serius setiap maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam, khususnya yang berkaitan keselamatan penumpang serta pengoperasian vesel di perairan Kudat.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia Zon Kudat menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung isu yang tular di media sosial.
Orang awam juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan maritim atau aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di 088-611858 untuk tindakan segera.
