DUA REMAJA LELAKI LEMAS DITEMUI MENINGGAL DUNIA DI SUNGAI PAGALAN

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 23 OGOS – Dua remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di kawasan Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini.

Kejadian dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau pada jam 3.15 petang, 22 Ogos sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Menurut saksi, kedua-dua mangsa sedang mandi bersama rakan-rakan sebelum disedari hilang dan dipercayai lemas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pasukan bomba menggunakan kaedah water surface, dengan pencarian diperluaskan sehingga radius dua kilometer meliputi permukaan air serta tebing sungai.

Operasi hari pertama kemudiannya ditangguhkan pada jam 6 petang dan disambung semula pada jam 9 pagi, 23 Ogos.

Pada hari kedua, operasi dibahagikan kepada dua pasukan dengan pencarian masing-masing meliputi jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan kawasan sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan selaman pertama pada jam 10.30 pagi sebelum mangsa pertama ditemui empat minit kemudian, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mangsa kedua pula ditemui pada jam 3.55 petang kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang hari ini.

Operasi membabitkan seramai 15 anggota, masing-masing sembilan anggota dari BBP Keningau dan lima anggota PPDA Kuala Penyu selain turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Galon Star-5.

Operasi diketuai PBK II Bonavanture Louis.

Share This Article