sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 4 OGOS 2025 – Tindakan berbelanja menggunakan kad ATM milik orang lain ternyata membawa padah kepada tiga beradik wanita.
Ketiga-tiganya yang berbelanja dengan menggunakan kaedah ‘paywave’ di beberapa premis di sini ditahan berikutan laporan polis yang dibuat oleh pemilik kad tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Haji Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati pengadu membuat laporan polis selepas menyedari kad ATM miliknya hilang dan digunakan tanpa kebenaran.
“Hasil semakan transaksi bersama pihak bank mendapati kad tersebut telah digunakan beberapa kali bagi tujuan peribadi. Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan menahan ketiga-tiga suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana mengakses sistem komputer secara tidak sah.
Jika sabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
TAMAT
