SK Rampayan Terima Bantuan Segera Ganti Peralatan Rosak Akibat Banjir

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 7 Januari – Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal yang terjejas teruk akibat banjir hujung minggu lalu menerima bantuan segera bagi menggantikan peralatan sekolah yang rosak sebagai persediaan sebelum sesi persekolahan bermula minggu hadapan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kerosakan akibat banjir melibatkan perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta kemudahan bilik guru sekali gus memerlukan tindakan pantas bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah diarahkan membekalkan kira-kira 300 unit meja dan kerusi murid menggantikan 10 unit komputer serta sebuah pencetak selain menyediakan sekitar 40 unit meja dan kerusi guru yang rosak akibat bencana berkenaan.

“Semua bantuan ini perlu dihantar dan dipasang segera sebelum sesi persekolahan bermula Isnin ini bagi menjamin keselesaan, keselamatan serta kelangsungan pembelajaran murid,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sendiri tahap kerosakan di sekolah berkenaan pada Selasa.

Dalam pada itu, James merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas melaksanakan kerja pembersihan dan pemulihan kawasan sekolah.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus memantau keadaan sekolah terjejas akibat banjir di negeri ini dan menyalurkan bantuan sewajarnya dari semasa ke semasa selain menggerakkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai sokongan tambahan bagi memastikan operasi sekolah dapat berjalan seperti biasa.

TAMAT

Share This Article