TAWAU, 23 OGOS — Sebanyak enam daerah di Pantai Timur Sabah memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi Latihan Zon Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Tawau, di sini.
Latihan yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos itu menghimpunkan 107 peserta terdiri daripada anggota APM Tawau, Semporna, Pulau Sebatik, Kunak, Kalabakan dan Lahad Datu.
Ketua Zon APM Tawau, Nazatul Shima Abu Zarim menyempurnakan majlis penutupan rasmi latihan berkenaan pada ahad.
Penganjuran latihan itu bertujuan memastikan anggota APM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dalam menghadapi pelbagai kemungkinan bencana dan kecemasan khususnya berikutan keadaan cuaca serta persekitaran yang semakin tidak menentu.
Sepanjang tiga hari latihan peserta mengikuti pelbagai modul teori, praktikal dan simulasi bersepadu bagi menguji kecekapan, kepantasan serta kemampuan anggota mengendalikan situasi kecemasan di lapangan.
Antara modul utama yang diberikan tumpuan ialah kemahiran Pertolongan Cemas dan Bantuan Kesihatan First Responder Life Support (FRLS), Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAM), teknik melawan kebakaran serta pengendalian peralatan operasi.
Peserta turut didedahkan dengan pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Pusat Pengurusan Operasi (PPO) selain menjalani latihan kemandirian atau survival (ikhtiar hidup).
Latihan kemudiannya disusuli Simulasi Bersepadu Fasa 1 dan Fasa 2 yang bertujuan menguji keupayaan anggota menyelaras tindakan secara pantas, sistematik dan berkesan ketika berdepan situasi sebenar.
Penganjuran latihan secara berkala itu mencerminkan komitmen APM Sabah dalam memperkasa kompetensi anggota selain memastikan pasukan sentiasa bersedia memberikan khidmat bantuan dan menyelamat demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
