KOTA KINABALU, 27 SEPT – Empat lelaki maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan di Taman Jaya Diri Jalan Sepanggar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.37 pagi itu pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum tiba di lokasi pada jam 2.59 pagi.
Komander Operasi, PBK I Judi Trisna berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva yang terbabas sendiri sebelum merempuh lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan.
Menurutnya, terdapat empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan peralatan khas (Rescue Tools),” katanya dalam kenyataan operasi.
Operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota, masing-masing enam anggota dari BBP Kota Kinabalu dan tiga anggota BBP Lintas, dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan pada kira-kira jam 3.50 pagi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mangsa yang dikenal pasti setakat ini ialah tiga lelaki berusia 21, 23 dan 24 tahun manakala identiti serta umur mangsa keempat masih belum diperoleh.
Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
