LELAKI HILANG KETIKA CARI LOKAN DITEMUI MENINGGAL DUNIA DALAM SUNGAI

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 26 SEPT – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari lokan di sungai berhampiran Kampung Tulibas Baru, di sini ditemukan meninggal dunia dalam sungai petang semalam.

Mangsayang dikenali sebagai Seleksion bin Appang, 45, dilaporkan keluar dari rumah pada 23 September lalu untuk mencari lokan di kawasan sungai berhampiran namun tidak pulang dan gagal dihubungi sehingga laporan kehilangan dibuat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa bin Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NGMERS999 pada jam 10.32 pagi mengenai kehilangan seorang lelaki dewasa di kawasan sungai.

Menurutnya, usaha pencarian awal oleh ahli keluarga mangsa menemukan topi milik mangsa di kawasan muara sungai berhampiran pantai manakala peralatan mencari lokan berupa pencakar turut ditemui di dalam sungai.

“Pasukan bomba kemudian digerakkan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Operasi turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat yang mengerahkan dua anggota selain melibatkan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kira-kira 30 orang awam.

PBS Felda Sahabat tiba di lokasi pada jam 12.40 tengah hari manakala pasukan BBP Lahad Datu turut menyertai operasi SAR selepas tiba di lokasi.

Operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah Surface Searching di sepanjang tebing sungai manakala orang awam menggunakan bot persendirian bagi melaksanakan pencarian di permukaan air.

Pada jam 3.06 petang, mangsa berjaya ditemukan penduduk kampung di dalam sungai kira-kira tiga kilometer dari lokasi penemuan topinya.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tubuh badan tidak sempurna dan dipercayai diserang atau dibaham buaya.

Pasukan penyelamat kemudian mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum menyerahkannya kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang selepas pihak bomba mengesahkan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Share This Article