Bawa Imigran Haram, Lelaki Lahad Datu Dipenjara dan Denda RM6,000

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 6 Okt: Seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu semalam selepas didapati bersalah membawa imigran haram.

Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan (TPPK) Mohd Sharifuddin Salim, manakala keputusan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Selag.

Walaupun dijatuhi hukuman penjara, tertuduh melunaskan denda tersebut sepenuhnya di mahkamah.

Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam kegiatan membawa pendatang tanpa izin turut dilucuthakkan dan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah mengikut peruntukan Seksyen 49A(5) akta sama.

Kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Penguatkuasa Pejabat Imigresen Lahad Datu diketuai oleh TPPI Mohd Auzal Khan Bakri.

Dalam kenyataan JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta pelindungan pendatang tanpa izin di negeri ini.

“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan pendatang tanpa izin. Tindakan undang-undang akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus terpelihara,” tegas kenyataan itu.

JIM turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil.

TAMAT

Share This Article