AQAGRO FIESTA 2026: POLITEKNIK SANDAKAN DIIKTIRAF PEMACU UTAMA TVET & KETERJAMINAN MAKANAN SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN,20 OGOS -Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini berdiri sebagai tunjang utama pembangunan negara bukan lagi sekadar laluan alternatif malah menjadi pemangkin kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi serta kestabilan ekonomi masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata fokus utama kerajaan adalah memperkukuh pembiayaan TVET dalam bidang strategik seperti automasi pertanian dan teknologi baharu bagi memastikan relevan dengan keperluan industri semasa.

“TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi pilihan utama negara. Ia melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menguasai teknologi baharu dan mampu menjana ekonomi mampan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian
semasa merasmikan penutupan AquAgro Fiesta 2026 di Politeknik Sandakan Sabah pada khamis.

Majlis yang berlangsung di Astaka Politeknik Sandakan itu bertujuan memartabatkan sinergi antara institusi pendidikan, industri serta agensi kerajaan, khususnya dalam bidang akuakultur, agroteknologi dan inovasi makanan sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Program ini juga menjadi wadah penting yang menghubungkan ilmu akademik dengan aplikasi sebenar selain menjadikan Politeknik Sandakan sebagai pusat kecemerlangan serantau melalui Pusat Teknologi Akuakultur (COAT).

Mustapha turut menekankan komitmen Jabatan Perdana Menteri untuk menjadikan Sabah hab kemahiran agroteknologi serta benteng keterjaminan makanan negara selaras dengan prinsip Ekonomi Biru dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara pencapaian utama AquAgro Fiesta 2026 adalah melahirkan modal insan tempatan yang mahir, mewujudkan jambatan kerjasama antara persekutuan dan negeri, serta melengkapkan komuniti dengan kemahiran keusahawanan dalam sektor pertanian dan akuakultur.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan AquAgro Fiesta sebagai jenama rasmi Politeknik Sandakan Sabah yang akan dijalankan secara tahunan bermula sekarang.

Program ini merupakan bukti kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan industri bagi memacu ekosistem TVET yang dinamik, inovatif dan berimpak tinggi di negeri ini.

Share This Article