28 RUMAH ATAS AIR MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI PULAU NUNUYAN LAUT

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 19 OGOS – Sebanyak 28 rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Pulau Nunuyan Laut, Sandakan, awal pagi tadi.

Bilik Kawalan Sandakan menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 3.50 pagi berhubung kejadian berkenaan dengan maklumat awal memaklumkan kebakaran dipercayai melibatkan lebih 10 buah rumah.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.25 pagi, sebelum operasi berjaya dikawal kira-kira jam 5.45 pagi.

Bagi membolehkan anggota serta peralatan operasi dibawa ke lokasi dengan segera, pihak bomba mendapatkan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menyediakan bot.

Jarak perjalanan dari BBP Sandakan ke Jeti Maritim adalah kira-kira 6.1 kilometer manakala perjalanan dari jeti ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 12 kilometer.

Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 30 meter x 200 meter dengan kesemua 28 rumah yang terbabit dilaporkan musnah sepenuhnya.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka daripada air laut.

Keadaan cuaca berangin kuat turut menjadi antara cabaran utama kepada pasukan bomba kerana menyukarkan pergerakan ke lokasi selain menyebabkan api merebak dengan pantas dari sebuah rumah ke rumah yang lain.

Bagaimanapun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebanyak 162 buah rumah daripada turut terjejas.

Pasukan bomba kemudian meneruskan kerja-kerja pemadaman dan pemantauan bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta mengelakkan kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.

Operasi yang disertai 12 anggota BBP Sandakan menggunakan sebuah jentera FRT-1, sebuah Vigo-2 dan sebuah bot Kevlar itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Operasi diketuai TPgB II Mohd Faizal bin Wahid, PKPgB Hairi bin Otuh dan PKPgB Jimmy Lagung, manakala PBK I Alan Ayuh bertindak sebagai Komander Operasi.

Turut membantu operasi ialah APMM-4 dan tiada litupan GIRN dilaporkan di lokasi kejadian.

Share This Article