TAWAU, 22 Jan – Pusat Sains SainsXplor PETRONAS di Garden City, Tawau dirasmikan hari ini sebagai usaha memperkasa pembelajaran sains dan teknologi serta membangunkan masyarakat berilmu dan berdaya saing di Sabah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pelancaran SainsXplor Tawau mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuhkan agenda pendidikan berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), khususnya dalam kalangan golongan belia.
Menurut beliau, selain berfungsi sebagai hab sains, pusat berkenaan turut menjadi platform pembelajaran interaktif yang mampu mencetus minat, kreativiti dan pemikiran kritikal pelajar serta masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masa depan Sabah yang lebih progresif.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman; Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Ir. (Dr.) Hj. Bacho Pilong; Setiausaha Tetap KPSTI Sabah, Hassan Mahali, serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan.
TAMAT
