Tenom Diistihar Bencana Banjir

sabahheadlines
2 Min Read

TENOM,25 Feb – Situasi banjir di daerah Tenom terus dipantau rapi oleh agensi keselamatan dan penyelamat selepas paras air Sungai Padas direkodkan melepasi tahap bahaya sekali gus menyebabkan beberapa kampung dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Tenom, SUPT Azmir Bin Abd. Razak berkata situasi banjir di daerah Tenom dipantau rapi dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia bersama agensi berkaitan selepas hujan lebat berterusan menyebabkan limpahan Sungai Padas dan beberapa kampung dinaiki air.

Pemantauan banjir dan bencana bagi daerah Tenom dilaksanakan bermula jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari hari ini dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta RELA.

Seramai lapan pegawai kanan polis dan 38 anggota, seorang pegawai serta 21 anggota bomba, empat pegawai dan 36 anggota APM serta enam anggota RELA digerakkan bagi memantau keadaan di lapangan.

Bacaan paras air Sungai Padas direkodkan pada 177 perpuluhan 54 meter iaitu pada tahap bahaya dengan trend menunjukkan peningkatan.

Antara kampung yang dilaporkan dinaiki air ialah Kampung Enubai, Kampung Pantongan Saga, Kampung Mendalom Lama, Kampung Pantongan Sapong, Kampung Ponontomon, Kampung Tumantalik, Kampung Paal Seberang, Kampung Batu-Batu, Kampung Kuala Tomani, Kampung Kemabong Lama, Kampung Gumisi, Kampung Belumbung, Kampung Pemaluyan, Kampung Akar Hidup, Kampung Pulongan Sapong, Kampung Batu 8, Kampung Bengkulin Lama, Kampung Kalasasan, Kampung Batu 14 dan Kampung Rumuli.

Setakat ini tiada kejadian tanah runtuh dilaporkan.

Bencana banjir telah diisytiharkan secara rasmi pada jam sembilan pagi tadi selepas pemantauan mendapati limpahan Sungai Padas menjejaskan beberapa kawasan penempatan.

Hujan lebat sejak 24 Februari di kawasan hulu Sungai Padas dan sekitar Tenom dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan paras air sungai.

Pihak berkuasa kini masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan pembukaan pusat pemindahan sementara serta jumlah mangsa terlibat.

Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

TAMAT

Share This Article