Polis, Jabatan Hidupan Liar Gempur Resort Saji Spesies Dilindungi

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 25 Feb – Tindakan sebuah resort di daerah ini yang dipercayai menyimpan dan menyediakan hidupan liar sebagai sajian kepada pelanggan menerima padah apabila premis berkenaan diserbu dalam satu operasi bersepadu, semalam.

Operasi dikenali sebagai Operasi Bersepadu Khazanah itu dilaksanakan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama Polis Diraja Malaysia hasil maklumat risikan, dengan penglibatan Cawangan Risik Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am Sandakan.

Pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan seekor tenggiling hidup, spesies yang dikategorikan sebagai dilindungi sepenuhnya, selain beberapa hidangan yang dipercayai berasaskan haiwan liar yang turut berada di bawah perlindungan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata sebarang aktiviti memburu, memiliki, menjual atau menyediakan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran adalah kesalahan berat di sisi undang-undang.

Menurut beliau, kes berkenaan boleh disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah No. 6 Tahun 1997) yang memperuntukkan hukuman tegas terhadap pesalah.

Beliau menjelaskan spesies Pangolin atau Manis javanica, yang lebih dikenali sebagai tenggiling, tersenarai dalam Jadual 1 enakmen tersebut sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya dan tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis, termasuk pengusaha pelancongan, untuk memiliki atau menjadikannya sebagai makanan.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25(1), pelaku boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun mengikut Seksyen 25(3)(a).

Sehubungan itu, Tan menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang serta menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar demi kelestarian alam sekitar dan reputasi Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Beliau turut menggesa masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau agensi penguat kuasa berkaitan sekiranya mengetahui aktiviti penjualan atau penyediaan makanan eksotik membabitkan spesies dilindungi, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

TAMAT

Share This Article