PENAMPANG, 25 Jun – Kegiatan licik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik sebuah stor rahsia di Jalan Kobusak di sini akhirnya terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melancarkan serbuan khas dan merampas hampir 3,000 liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM158,000, petang semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 2.30 petang itu dilaksanakan menerusi Op Tiris 4.0 hasil kolaborasi strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dan IPD Penampang.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut berhubung kegiatan berkenaan.
“Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut menemukan sebanyak 2,775 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan dalam beberapa unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC), selain pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.
Kesemua rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM158,826.75.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ahmad Amri berkata, ketegasan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras jenayah ketirisan ekonomi bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi tindakan penguatkuasaan yang agresif dan konsisten bagi memastikan hasil negara tidak terus dibolosi oleh sindiket penyeludupan.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 24 Jun 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 81 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan penahanan 75 individu dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM22.79 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana individu atau dalang yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti haram berkenaan digesa tampil menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan sekali gus melindungi kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat.
