KERAJAAN GRS TIDAK ABAIKAN RAKYAT

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 25 JUN – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela menerusi pelbagai inisiatif pembangunan serta bantuan yang disalurkan kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa, berkata kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat dan tidak pernah mengabaikan keperluan mereka.

“Kerajaan GRS sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakyat serta amat prihatin terhadap setiap masalah yang dihadapi oleh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Permit Lot Tanah Rizab Anak Negeri Kampung Sungai Batang yang melibatkan 347 penerima, di Mahkamah Anak Negeri Sandakan, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan GRS komited membawa kesejahteraan kepada rakyat melalui pelbagai program dan bantuan yang diperkenalkan demi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Dalam pada itu, Hazem berkata isu-isu yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Batang seperti bekalan air, sistem perparitan dan jalan masuk kampung sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

“Kita akan terus berusaha mengatasi masalah bekalan air, perparitan dan jalan masuk. Perkara ini sememangnya dalam perhatian kerajaan dan saya telah meminta jabatan serta agensi berkaitan untuk tampil membantu,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmennya selaku ADUN Sungai Manila untuk terus membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat serta memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan dapat ditangani dengan sebaiknya.

Share This Article