SH SYARMILAH SALLEH
SEMPORNA (14 JUN): Operasi bersepadu di daerah sini merekodkan nilai rampasan lebih RM63 ribu dengan 56 orang ditahan.
Operasi yang diterajui oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan itu merekodkan nilai rampasan mencecah RM63, 987.50.

Manakala 56 orang yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata operasi itu mensasarkan pelbagai kesalahan termasuk mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyalahgunaan najis dadah dan penyelewengan barang kawalan.
Operasi itu melibatkan Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pasukan Gerakan Am serta pihak berkuasa tempatan Semporna.

Victor berkata, operasi yang bermula pada 12 Jun dan berakhir 13 Jun 2025 itu dijalankan secara berperingkat dengan sasaran kawasan pesisir bandar serta kawasan awam.
“Ia juga turut memfokuskan kepada penguatkuasaan pelbagai kesalahan lain dan dilaksanakan serentak dengan rondaan keselamatan di laluan ketirisan yang dikenal pasti sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan.”
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 147 pemeriksaan fizikal terhadap individu dan 104 premis perniagaan serta rumah telah dijalankan”, tambahnya.

Katanya PATI warga Filipina yang ditahan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63.
Manakala individu lain ditahan atas kesalahan berkaitan dokumen di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Semporna turut menahan dan merampas 15.94 gram dadah jenis methamphetamine.
Kesemua suspek dibawa ke IPD Semporna untuk saringan air kencing dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) turut merampas pelbagai barang kawalan bersubsidi dipercayai untuk diseleweng ke negara jiran.
” Rampasan termasuk minyak masak, gula, beras, serta bot kayu dan enjin sangkut, disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya.
Victor menjelaskan, matlamat utama operasi ini adalah untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain membanteras penyeludupan dan penyusupan PATI serta memastikan barangan bersubsidi tidak disalahgunakan.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menerusi Operasi SANGGAH ESSCOM, yang menyokong pelaksanaan konsep ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’.
Inisiatif ini katanya bertujuan membanteras anasir luar, mengekalkan ketenteraman serta menyokong agenda pembangunan sosioekonomi setempat berdasarkan nilai ihsan, kesejahteraan dan keselamatan.
Sehubungan itu, ESSCOM turut merakamkan penghargaan kepada lebih 135 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi ini termasuk IPD Semporna, BSJND, Batalion 22 PGA Kunak, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Balai Polis Pulau Bum-Bum, Pasukan Gerakan Udara (PGU), APMM, JIM, KPDN, JPN dan Jabatan Perhutanan Daerah Semporna.
ESSCOM akan terus memperluas operasi seperti ini ke daerah-daerah lain dalam ESS Zone bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan rakyat di Sabah Timur.
Orang ramai diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di 011-63311072.
TAMAT
