15 BANDUAN LAHAD DATU DIBEBASKAN MELALUI PROGRAM PBSL SEMPENA HARI KEMERDEKAAN

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 28 Ogos – Seramai 15 banduan dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Toh Puan Norlida, Penjara Lahad Datu, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.61 Segama, Datuk Mizma Apphedullah yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga banduan.

Dalam ucapannya, Datuk Mizma menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia atas pelaksanaan inisiatif Madani PBSL yang memberi peluang kedua kepada banduan untuk kembali ke pangkuan keluarga serta membina kehidupan baharu.

Peluang ini harus digunakan sebaiknya oleh prospek dengan penuh disiplin dan integriti.

Sokongan keluarga serta masyarakat amat penting agar mereka tidak kembali ke kancah jenayah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa PBSL Ihsan Madani, bertemakan “Kepulangan Yang Dinanti”, bukan sekadar peluang pembebasan, tetapi suatu usaha memperkukuh ikatan kekeluargaan, pemulihan diri, pendidikan dan pekerjaan bagi mempercepatkan proses reintegrasi banduan ke dalam masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Penjara Lahad Datu, PKK Kalbin Hj Mohd Said berkata, program PBSL bertujuan memperluaskan pelaksanaan hukuman dalam komuniti, mengurangkan kesesakan penjara dan memberi prospek peluang membina semula kehidupan.

“PBSL hanya diberikan kepada prospek yang layak iaitu menjalani hukuman kurang tiga tahun, telah menamatkan sekurang-kurangnya satu pertiga hukuman selain mendapat persetujuan keluarga dan majikan,” katanya.

Menurut beliau, daripada 15 banduan yang dibebaskan, 13 kembali ke pangkuan keluarga masing-masing manakala dua ditempatkan di Rumah Perantaraan Sandakan.

“Program ini selaras dengan visi Jabatan Penjara Malaysia untuk memastikan dua pertiga prospek menjalani hukuman di luar penjara menjelang 2030,” tambahnya sambil menyeru masyarakat dan majikan agar memberi peluang pekerjaan kepada Orang Bebas Berlesen (OBB).

TAMAT

Share This Article