KANAK-KANAK LAPAN TAHUN HILANG DIPERCAYAI LEMAS DI SUNGAI MANDALIPAU, OPERASI SAR MASUK

sabahheadlines
2 Min Read

PAPAR, 24 JUN- Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus ketika bermain di tepi Sungai Kampung Mandalipau, di sini, petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.28 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

Menurut maklumat awal, mangsa yang dikenali sebagai Najmal Walki, 8, dilaporkan tergelincir sebelum dihanyutkan arus sungai.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Pasukan bomba kemudiannya membuat persiapan operasi di Jambatan Kampung Mandalipau, kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh, sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi pencarian pada hari pertama dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue serta dua kali selaman oleh anggota PPDA.

Operasi turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Papar Water Rafting.

Bagaimanapun mangsa gagal ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.10 petang sebelum disambung semula hari ini.

Memasuki hari kedua, operasi SAR bermula pada jam 10 pagi dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat.

Pencarian dijalankan dari kawasan Kigandang River View Camp sehingga Papar White Water Rafting melibatkan radius pencarian sejauh enam kilometer menggunakan teknik water surface search dengan bantuan bot rafting.

Operasi hari kedua turut ditangguhkan pada jam 5.07 petang selepas mangsa masih belum ditemui.

Ketua Balai BBP Papar, PKPgB Rony Sikawan berkata, operasi SAR akan diteruskan esok dengan memperluaskan kawasan pencarian bagi meningkatkan peluang mengesan mangsa.

Setakat ini, status mangsa masih belum dijumpai dan pihak bomba akan terus mengemas kini perkembangan operasi dari semasa ke semasa.

Share This Article