MARITIM MALAYSIA TUMPAS CUBAAN SELUDUP ROKOK BERNILAI RM65.7 JUTA DI PERAIRAN SIPADAN

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 24 JUN– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai bernilai kira-kira RM65.75 juta dalam operasi yang dijalankan di perairan selatan Pulau Sipadan, Isnin lalu.

Operasi menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris itu dilaksanakan selepas Maritim Zon Tawau menerima maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan. Hasil pemantauan, sebuah kapal kargo dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan.

Pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan beberapa kotak ke sebuah lagi bot kargo sebelum pasukan penguat kuasa bertindak memeriksa kedua-dua vesel tersebut. Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi yang sah.

Turut dirampas pelbagai peralatan navigasi dan komunikasi termasuk sistem GPS, radar, radio komunikasi, telefon bimbit serta dokumen berkaitan kapal bagi membantu siasatan.

Seramai 20 kru dan nakhoda warga asing dari beberapa negara turut ditahan selepas disyaki gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen kapal yang sah.

Pemeriksaan lanjut ke atas kargo menemukan sebanyak 3,014 peti rokok pelbagai jenama, terdiri daripada 2,956 peti rokok BOSQU, 40 peti NEW ARIS, 15 peti BERLIN dan tiga peti NEW FAR. Nilai rampasan rokok dianggarkan RM24.25 juta termasuk cukai sebanyak RM12.06 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyeludup rokok tanpa cukai, selain turut melibatkan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kedua-dua kapal bersama semua barang kes telah diiring ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barang tidak bercukai dan pelanggaran undang-undang maritim demi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

Share This Article