Lawatan tapak nilai keberkesanan monsoon drain di Sandakan

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 15 Mac : Ahli Parlimen P.186 Sandakan, YB Vivian Wong Shir Yee melakukan lawatan tapak bersama wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meninjau projek monsoon drain yang telah diluluskan kerajaan pada 2019 dan kini mula beroperasi di kawasan berhampiran Borneo Cove, di sini.

Lawatan itu bertujuan menilai keberkesanan sistem saliran berkenaan dalam mengurus aliran air hujan sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar.

Menurut Vivian, pembinaan monsoon drain merupakan antara usaha penting dalam memperkukuh sistem perparitan di daerah ini memandangkan Sandakan sering berdepan masalah limpahan air ketika hujan lebat.

Beliau berkata, setakat ini kira-kira 120 monsoon drain telah dibina di seluruh Sandakan sebagai sebahagian daripada inisiatif mempertingkat pengurusan air hujan serta memperkukuh keupayaan infrastruktur saliran bandar.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan ketika ini ialah pembinaan monsoon drain di belakang Hotel Livingston yang dijangka membantu menambah baik aliran air di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan selepas lawatan tersebut.

Dalam masa sama, Vivian turut melawat beberapa lokasi yang dikenal pasti kerap mengalami banjir kilat, termasuk kawasan sekitar Hospital Duchess of Kent (HDOK) serta kawasan hadapan stesen minyak Petronas di Taman Lucky bagi menilai keadaan sebenar di lapangan.

Beliau menegaskan usaha menangani masalah banjir akan terus diberi keutamaan bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan Parlimen Sandakan tidak terjejas akibat kejadian tersebut.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh keperluan meneliti aspek sistem saliran di beberapa kawasan pembangunan seperti Bandar Perdana, Batu 7 serta Taman Matahari bagi memastikan perancangan infrastruktur dibuat secara lebih menyeluruh.

“Pembangunan tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan bangunan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pembangunan infrastruktur asas seperti sistem saliran dan pengurusan air yang berkesan demi manfaat masyarakat,” katanya.

TAMAT

Share This Article