Oleh: Syarmillah Salleh
KOTA KINABALU, 14 Sept – Seramai 455 mangsa daripada 135 ketua isi rumah (KIR) masih ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir dan kebakaran sejak minggu lalu.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, mangsa terlibat membabitkan tiga daerah iaitu Beaufort, Penampang dan Tawau.
Di Beaufort, seramai 154 mangsa daripada 51 KIR masih berlindung di PPS PPK Selagon sejak ia dibuka pada 9 September lalu.
Di Penampang, jumlah mangsa banjir menurun kepada 242 mangsa daripada 73 KIR, melibatkan tiga PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang, SK St Paul Kolopis dan Dewan Huguan Siou.
Sementara itu di Tawau, seramai 59 mangsa daripada 11 KIR kekal berada di PPS Masjid Al-Aman selepas kebakaran yang berlaku pada 12 September lalu.
Setakat ini, satu kematian dilaporkan di Kampung Sarapung Kolopis, Penampang apabila seorang lelaki warga emas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh.
JPBN Sabah memaklumkan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ialah lima buah dengan perkembangan semasa terus dipantau oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah bersama agensi berkaitan.
TAMAT
