PENDAKI CROATIA BERJAYA DISELAMATKAN SELEPAS LIMA HARI TERKANDAS DI GUNUNG KINABALU

sabahheadlines
3 Min Read

RANAU, 11 SEPT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama lima hari berjaya membawa keluar seorang pendaki lelaki warga Croatia yang cedera selepas terjatuh ketika berada di kawasan Gunung Kinabalu, pada khamis.

Mangsa, Mauro Persic, 46, ditemui dalam keadaan cedera pada kaki kanan dan bahagian rusuk kanan selain mengalami luka ringan pada tangan.

Operasi membawa turun mangsa disambung pada jam 7.07 pagi oleh pasukan SAR yang berdepan laluan mencabar sejauh kira-kira dua hingga tiga kilometer sebelum mangsa dibawa ke platform untuk proses evakuasi menggunakan Robinson Stretcher.

Pada jam 10.16 pagi, Team 1 berjaya membawa mangsa sehingga ke laluan tangga aluminium yang menjadi lokasi staging bagi Team 2 dan Team 3 sebelum operasi diteruskan secara berperingkat.

Bagaimanapun keadaan cuaca hujan sedikit mencabar usaha pasukan penyelamat apabila pada jam 1.06 petang, pasukan SAR bersama mangsa berada kira-kira 1.8 kilometer dari Platform KM6.5.

Mangsa bersama pasukan penyelamat kemudian selamat tiba di Platform KM6.5 yang menjadi lokasi staging Team 4, pada jam 3.21 petang.

Proses membawa mangsa dari Panalaban ke Timpohon Gate diteruskan pada jam 4.40 petang menggunakan kaedah piggy back carry dengan bantuan Body Harness Carrier (BHC).

Usaha pasukan SAR akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa dan pasukan penyelamat selamat tiba di Timpohon Gate pada jam 7.06 malam.

Mangsa kemudiannya menerima rawatan awal daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM pada jam 7.22 malam diiringi kenderaan MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk rawatan lanjut.

Kesemua anggota pasukan SAR turut dilaporkan selamat tiba di Timpohon Gate.

Komander Operasi SAR kemudian memaklumkan operasi mencari dan menyelamat pendaki terjatuh di Gunung Kinabalu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam.

Operasi berkenaan membabitkan kekuatan keseluruhan 43 anggota pasukan SAR, terdiri daripada 34 anggota bomba, dua ParkSAR, lima guide, seorang porter dan seorang ranger.

Selain itu, operasi turut mendapat sokongan PDRM seramai 10 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tujuh anggota, Sabah Parks tiga anggota serta lapan porter.

Operasi diketuai Komander Operasi TPgB II Mohd Faizal bin Wahid dengan sokongan Pegawai Kanan STORM, PKPgB Jimmy Lagung.

Pasukan SAR turut dibahagikan kepada beberapa pasukan termasuk Team 1 yang bertanggungjawab membawa mangsa dari lokasi mangsa ke staging Team 2 dan Team 3 manakala Team 4 ditempatkan di Platform KM6.5 bagi menyokong proses evakuasi.

Mangsa yang mempunyai koordinat terakhir 6.063847, 116.575587 berjaya dibawa keluar selepas operasi SAR memasuki hari kelima.

Share This Article