LELAKI PARAH DALAM KEMALANGAN LORI TANGKI MINYAK DI JALAN POIC BARU LAHAD DATU

sabahheadlines
1 Min Read

Lahad Datu, 15 Nov- Seorang lelaki cedera parah selepas lori tangki minyak membawa muatan Minyak Sawit Mentah (CPO) terlibat dalam kemalangan di Jalan POIC Baru, Lahad Datu, petang tadi.

Pusat Gerakan menerima panggilan kecemasan pada jam 4.34 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.

Jentera pertama tiba pada jam 4.40 petang.

Menurut Komander Operasi, PBK I Mohd Akbar Muhambar, kemalangan melibatkan sebuah lori tangki minyak 30 tan.

Pihak bomba mendapati seorang mangsa,38, tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada petugas ambulans KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan susulan.

Komander Operasi turut memaklumkan bahawa tiada tumpahan minyak dikesan di lokasi kejadian.

Lori berkenaan akan dialihkan oleh pihak Gembo Enterprise Sdn. Bhd syarikat yang mengendalikan kenderaan tersebut.

Operasi yang turut dibantu pasukan PDRM dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang setelah pihak bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.

TAMAT

Share This Article