TAWAU, 9 Mei — Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai mengugut ibu bapanya dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu, Tanah Merah, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, seorang wanita warga emas dilaporkan hampir dipukul menggunakan kerusi kayu oleh anak lelakinya susulan pertikaian berkaitan penjualan buah mangga.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak polis menerima laporan daripada bapa suspek berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, suspek yang berusia lingkungan 45 tahun dipercayai tidak berpuas hati selepas seorang lelaki membeli buah mangga daripada ibu bapanya sehingga menyebabkan mangga miliknya tidak terjual.
“Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
