SANDAKAN, 8 Mac – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee memaklumkan bahawa satu pertemuan pertama melibatkan semua wakil rakyat Sabah termasuk Ahli-Ahli Parlimen telah diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan negeri Sabah.
Menurut beliau, pertemuan tersebut menghimpunkan wakil rakyat daripada pelbagai parti politik di Sabah dengan matlamat utama untuk mencapai kesepakatan bersama dalam memperjuangkan perkara yang memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri Sabah.
Walaupun datang daripada latar belakang dan pandangan politik yang berbeza, para wakil rakyat Sabah bersetuju bahawa kepentingan negeri perlu menjadi keutamaan dan diperjuangkan secara bersama.
Dalam pertemuan itu juga, wakil-wakil rakyat Sabah menyuarakan harapan agar Kerajaan Persekutuan tidak meneruskan tindakan rayuan (appeal) terhadap perkara yang telah dipersetujui sebelum ini berkaitan hak dan agihan kepada Sabah.
Beliau berkata, tindakan rayuan tersebut boleh menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.
Sehubungan itu, wakil rakyat Sabah merayu agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula perkara tersebut demi menjaga hubungan baik serta menghormati hak Sabah.
Menurut beliau lagi, satu lagi pertemuan susulan dijangka akan diadakan dalam tempoh kira-kira 40 hari akan datang bagi mendapatkan maklum balas dan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan.
Oleh : Jalie mohamad
TAMAT
