KOTA KINABALU, 6 November – Peranan media dalam menyampaikan maklumat tepat dan pantas kepada masyarakat amat penting bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara serta menguatkuasakan undang-undang
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, tanpa sokongan media, pelbagai usaha, pencapaian dan mesej pendidikan yang dilaksanakan PDRM sukar disampaikan secara meluas kepada masyarakat.
Beliau berkata, perkembangan media dan penyiaran telah mengubah cara masyarakat menerima maklumat berbanding era terdahulu yang banyak bergantung kepada penyampaian secara lisan.
Menurutnya, kelewatan penyampaian maklumat dan berita berdasarkan persepsi pada masa lalu sering menimbulkan salah faham, prasangka serta permusuhan antara kaum dan masyarakat di kawasan berbeza.
“Kalau dahulu, orang tidak mengetahui perkembangan dan hanya mengetahui melalui pembawaan dari mulut ke mulut yang mengambil tempoh terlalu lama untuk sampai dari satu pihak ke satu pihak.
“Namun, kewujudan media dan penyiaran secara meluas membolehkan masyarakat mendapat berita yang benar, cepat dan sama, sekali gus mendidik masyarakat untuk melihat diri mereka sebagai satu kesatuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pesuruhjaya Polis Sabah Bersama Media Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Jumaat.
Jauteh yang akan bersara wajib 11 November ini turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama dan sokongan diberikan kepada PDRM sepanjang perkhidmatan beliau di Kontinjen Sabah.
Menurutnya, media bukan sahaja berperanan menyampaikan berita, malah mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju masyarakat dan negara.
Katanya, hasil kerja media mampu membawa kesan besar sama ada membangunkan negara, mewujudkan keamanan mahupun sebaliknya sekiranya maklumat yang disampaikan tidak tepat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan hubungan erat antara PDRM dan media kerana penyebaran maklumat yang tepat merupakan antara elemen utama dalam memastikan keberkesanan tugas kepolisan.
“Tanpa penyebaran maklumat yang tepat, tanpa ketepatan maklumat, apa juga alat yang kita gunakan tidak akan mampu merealisasikan apa yang kita ingin sampaikan atau ingin kita capai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengamal media supaya sentiasa berpegang kepada etika kewartawanan, khususnya dalam memastikan sesuatu kenyataan disampaikan secara lengkap dan tidak dipetik di luar konteks.
Mengimbas kerjasama sepanjang berkhidmat di Sabah, beliau merakamkan penghargaan kepada media yang sentiasa membantu menyebarluaskan maklumat, memberikan pendidikan kepada masyarakat serta memaklumkan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab PDRM.
Beliau turut menyifatkan pengorbanan pengamal media yang bertugas tanpa mengira masa dan keadaan, termasuk sanggup berjalan kaki serta berada dalam hujan dan panas demi mendapatkan liputan yang tepat, sebagai sesuatu yang amat dihargai.
“Terima kasih kepada media atas sokongan yang diberikan kepada PDRM, bukan kepada diri saya tetapi kepada PDRM.
“Saya berharap apa yang media lakukan ini diteruskan dan ditingkatkan,” katanya.
