LAHAD DATU,17 Nov- Calon Pakatan Harapan kerusi Dewan Undangan (DU) Sabah untuk Silam hari ini membuat kejutan.
Calon itu Haji Abdul Halim Sidek Gulam, mengumumkan menarik diri daripada bertanding kerusi itu hanya selepas dua hari penamaan calon dibuat.
Dalam kenyataan rasminya hari ini, beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam serta perbincangan teliti bersama kepimpinan tertinggi PH.
Beliau turut menegaskan keputusan itu dilakukan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak luar.
Katanya, keputusan tersebut diambil demi memelihara hubungan harmoni antara PH dan rakan kerjasama politik lain, selain melihat kepentingan perpaduan sebagai keutamaan dalam landskap politik Sabah
Beliau percaya perpaduan dan kerjasama adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri Sabah.
Walaupun menarik diri, beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyumbang kepada pembangunan rakyat dan kawasan Silam dalam apa jua kapasiti yang mampu.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Madani akan terus memacu pembangunan Sabah bersama wakil rakyat yang dipilih kelak.
Dalam kenyataan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PH, jentera parti serta rakyat Silam dan Lahad Datu atas segala sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang perjalanan politiknya.
Penarikan diri beliau sebagai calon berkuat kuasa pada 17 November 2025 sekali gus membuka laluan kepada strategi baharu PH dalam menghadapi saingan pada pilihan raya kali ini.
TAMAT
