ZIARAH SUBUH DR. JANATHAN TINJAU POTENSI TAMU MARAK PARAK

sabahheadlines
3 Min Read

MARAK PARAK, KOTA MARUDU, 6 November – Keunikan operasi seawal 5.30 pagi menjadikan Tamu Kampung Marak Parak antara lokasi tumpuan komuniti yang berpotensi diperkasakan sebagai pemangkin ekonomi penduduk luar bandar.

Menyedari potensi itu, Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tandek, Dato’ Dr. Janathan Kandok mengadakan lawatan kerja ke tamu berkenaan menerusi Program Ziarah Rakyat, hari ini.

Lawatan yang bermula seawal 5.30 pagi itu bertujuan mendekati masyarakat setempat, selain mendengar sendiri pandangan serta mengenal pasti keperluan penduduk dan peniaga kecil di kawasan berkenaan.

Tamu Marak Parak yang telah beroperasi sejak era 1980-an menjadi antara nadi ekonomi komuniti setempat khususnya sebagai platform bagi penduduk memasarkan hasil pertanian dan kraftangan untuk menjana pendapatan.

Berbeza dengan kebanyakan tamu lain di kawasan Tandek yang lazimnya bermula sekitar jam 7 pagi, tamu berkenaan mula beroperasi seawal 5.30 pagi dan sebahagian besar peniaga mula meninggalkan lokasi menjelang jam 8 pagi.

Mengambil kira jadual operasi itu, Dr. Janathan bersama rombongan bertolak seawal 4.30 pagi bagi memastikan peluang berinteraksi dengan penduduk serta para peniaga dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau potensi pembangunan kawasan Marak Parak yang difahamkan bakal menjadi sebahagian daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.

Selain keunikan tamu tradisionalnya, Marak Parak turut mempunyai kelebihan dari sudut pelancongan kerana terletak tidak jauh dari destinasi alam semula jadi terkenal, Air Terjun Serinsim.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu, Dr. Janathan menggalakkan lebih ramai pengunjung dan pelancong luar datang ke Marak Parak bagi menikmati keunikan tamu tradisional serta menerokai keindahan Air Terjun Serinsim.

Menurutnya, sokongan orang ramai melalui pembelian hasil pertanian tempatan dan aktiviti pelancongan komuniti mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

“Kita amat menggalakkan lebih ramai pelancong dan pengunjung luar untuk datang ke Marak Parak, merasai sendiri keunikan tamu tradisi ini serta melawat Air Terjun Serinsim.

“Sokongan orang ramai menerusi pembelian hasil tani tempatan dan aktiviti pelancongan komuniti ini diyakini mampu meningkatkan taraf hidup serta pendapatan penduduk Marak Parak,” katanya.

Dr. Janathan yang juga Timbalan Ketua Bahagian PGRS Kota Marudu berkata, Program Ziarah Rakyat akan terus diperluaskan ke kawasan pedalaman di DUN Tandek bagi memastikan suara, kebimbangan dan aspirasi masyarakat akar umbi terus diberi perhatian.

Turut menyertai lawatan itu ialah Ketua Penerangan PGRS Kota Marudu, Jeson Majimal; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Marudu, Datuk George Sangkin; Ahli Jawatankuasa Penyelaras PGRS Tandek, Johari Pengaju serta Mohd. Fakhrurrazi Abd Wahab.

Share This Article