LAHAD DATU, 9 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu menahan dua lelaki warga Filipina yang disyaki membawa 35 batang kayu bergergaji secara haram di perairan Kunak, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 5 pagi hasil maklumat risikan menerusi OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 4.0.
Menurutnya, sebuah vesel berwarna merah dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak apabila beberapa batang kayu terapung diikat bersama vesel berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh dua lelaki warga Filipina berusia 51 dan 33 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 35 batang kayu bergergaji yang dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata.
Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 / Enakmen Hutan 1968 Sabah kerana memiliki kayu bergergaji tanpa kebenaran SAH selain Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Dzulfikhar menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan aktiviti jenayah maritim di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
