LAHAD DATU, 6 November – Kegagalan mematuhi Notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) membawa padah apabila tiga premis di Lahad Datu dikenakan denda keseluruhan RM33,200 selepas pemilik masing-masing mengaku bersalah atas 14 pertuduhan di Mahkamah Majistret Lahad Datu.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid dalam kenyataan memaklumkan, tindakan undang-undang itu diambil susulan kegagalan premis terbabit mengambil tindakan terhadap notis yang dikeluarkan pihak bomba.
Kes pertama membabitkan sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat perhimpunan atau rekreasi apabila pemiliknya mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Lahad Datu.
Pemilik berkenaan dikenakan denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM7,500.
Kes kedua pula membabitkan sebuah kedai serbaneka yang pemiliknya mengaku bersalah atas lima pertuduhan dan dikenakan denda keseluruhan RM12,500.
Sementara itu sebuah premis yang beroperasi sebagai kilang dan kedai turut dikenakan denda RM13,200 bagi enam pertuduhan selepas wakil pemilik mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan di mahkamah sama.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah premis seumpama kedai serbaneka di Semporna yang dimiliki individu sama turut disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama dalam prosiding di Mahkamah Majistret Semporna pada 5 November lalu.
BBP Lahad Datu menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi memastikan semua pemilik premis mematuhi keperluan keselamatan kebakaran dan tidak mengabaikan notis yang dikeluarkan pihak bomba.
Sehubungan itu orang ramai khususnya pemilik dan pengurus premis di sekitar Lahad Datu dinasihatkan supaya memastikan premis masing-masing mendapatkan ulasan serta sokongan JBPM bagi mengelakkan tindakan undang-undang atas kesalahan sama.
Pematuhan terhadap keperluan keselamatan kebakaran amat penting bagi memastikan setiap premis berada dalam keadaan selamat serta bebas daripada bahaya kebakaran yang boleh mengancam keselamatan penghuni dan pengunjung.
