TUARAN, 25 Dis – Seramai lima individu cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum masuk ke dalam parit dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Berungis di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.18 pagi sebuah kenderaan jenis Perodua Ativa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di lokasi berkenaan.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan dengan jentera tiba pada jam 2.27 pagi kira-kira lima kilometer dari balai.
Pegawai Operasi, Norkizan bin Durudin berkata, kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari dalam parit menggunakan pengusung (stretcher) sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba.
“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 30 tahun.
Operasi menyelamat melibatkan sembilan anggota bomba menggunakan dua jentera iaitu FRT-1 dengan enam anggota serta EMRS-1 serta tiga anggota selain kerjasama KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 pagi.
TAMAT
