KOTA KINABALU, 5 Jan – Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Sabah terus meningkat apabila seramai 534 orang daripada 187 ketua isi rumah (KIR) telah ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat tengah hari ini.
Menurut Sabah State Disaster Command Centre (SDCC), daerah Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Belud antara kawasan yang terjejas dengan 11 kampung dilaporkan dilanda bencana banjir.
Daerah Beaufort mencatatkan jumlah tertinggi penduduk terjejas melibatkan 342 orang daripada 120 KIR yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon dengan jumlah mangsa dilaporkan terus meningkat.
Di Kota Kinabalu seramai 175 penduduk daripada 63 KIR ditempatkan di Dewan Masjid Al Munir, Kampung Darau juga menunjukkan peningkatan.
Sementara itu, di Kota Belud seramai 17 orang daripada empat KIR ditempatkan di Dewan Kampung Lentigi manakala satu lagi PPS iaitu Dewan Masyarakat Tun Said telah diaktifkan pagi ini dan kini dalam proses pendaftaran mangsa.
Statistik turut menunjukkan daripada keseluruhan mangsa yang dipindahkan seramai 118 lelaki dewasa, 182 perempuan dewasa, 119 kanak-kanak lelaki dan 115 kanak-kanak perempuan telah direkodkan di semua PPS yang dibuka.
Setakat ini tiada kematian dilaporkan akibat bencana banjir di negeri ini dan pihak berkuasa juga tidak menerima sebarang laporan mengenai penduduk terjejas yang terperangkap di luar pusat pemindahan.
JPBN Sabah memaklumkan bahawa pemantauan berterusan sedang dijalankan di kawasan berisiko tinggi selain menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
TAMAT
