APM Sandakan Bertindak Pantas Bantu Mangsa Kemalangan di Bulatan Helang Batu 7

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 28 Mac 2026 – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan bertindak sebagai pasukan pertama tiba di lokasi (first responder) dalam satu kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Bulatan Helang Batu 7, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.54 pagi ketika anggota bertugas ESSZONE sedang menjalankan rondaan Ops Prihatin sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut maklumat di lokasi, kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal yang ditunggang mangsa tergelincir ketika melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri selain mengadu sakit di bahagian pinggul. Pasukan APM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, anggota APM turut membantu mengawal aliran trafik bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain serta melancarkan operasi di lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.08 pagi dalam keadaan terkawal.

Sehubungan itu, APM Sandakan mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan meningkatkan tahap kewaspadaan ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

TAMAT

Share This Article